Ada  sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang  sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar  setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup.  Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri. 
Pada  suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual  tempenya, tiba-tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang  soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi.Kebiasaannya tempe beliau telah  masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah  kesemuanya belum masak lagi. 
Perempuan  tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak  akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang  sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan  bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib,bahawa bagiNya tiada yang  mustahil. Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , "Ya Allah , aku  memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin" 
Begitulah  doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa  Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan  bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan  itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia  termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya. 
Namun  dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar  oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. "Ya  Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantu lah aku supaya hari ini  aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar  jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin".  
Dengan  penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu.  Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap  begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula  didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul.  Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yang sangat tinggi dia bercadang untuk  tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun  berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan  harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak. 
Dia  berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar.  Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa.  "Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan  menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini.  Amin". Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa  membaca doa di dalam hatinya. Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan  barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah  menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan  menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada. 
Perlahan-lahan  dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi?  Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas  dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada  Allah kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan  tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe.  Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia  berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi.  Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli  sudah mula kurang. 
Dia  meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir  habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari  ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya  masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya.  Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung,  namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Ya Allah,berikanlah penyelesaian  terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini."  
Tiba-tiba  dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita.  
"Maaf  ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari  tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum  berjumpa lagi." Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut  sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya  mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya  itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya"Ya Allah, saat ini aku tidak mahu  tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula,  Amin". 
Sebelum  dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya.  Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi!  Dia  pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun  memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita tu  pergi, dia sempat bertanya wanita itu, "Mengapa hendak membeli tempe yang belum  jadi?" Wanita  itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe  dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England,si ibu tadi kenalah  membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan  menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di  sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang  sedap. 
Perempuan  tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan  oleh Tuhan... 
Moral: 
Pertama:  Kita  sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu berdoa, padahal sebenarnya  Tuhan lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri  kita. 
Kedua:.  Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang  lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah  bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin  di luar jangkaan kita. 
Ketiga  :  Tiada yang mustahil bagi Tuhan 
Keempat  : Kita  sering ingin Allah memenuhi hak kita sedang kita tidak pernah mahu memenuhi hak  Allah seperti menjaga SEMBAHYANG 5 WAKTU , menyegerakan solat, berkata-kata  perkara yang berfaedah dan berpesan ke arah kebaikan  


 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan